SEJARAH

SEJARAH SEKOLAH
 SRK Jalan Kuantan terletak di Jalan Kuantan, Kuala Lumpur. Ia terletak berhampiran dengan beberapa buah hospital iaitu Hospital Tawakal, Hospital Tibi, Hospital Bersalin dan Hospital Besar Kuala Lumpur. Lokasi sekolah ini bertambah menarik dengan terbukanya sebuah taman rekreasi yang berhampiran iaitu Taman Tasik Titiwangsa. Sekolah ini juga terletak dalam satu kawasan yang sama dengan Maktab Perguruan Seri Kota.

SRK Jalan Kuantan telah wujud sejak 55 tahun yang lalu iaitu pada 14 Mac 1960, walaupun tanpa bangunannya sendiri. Pada mulanya ia menumpang bangunan sekolah Inggeris Jalan Batu. Pada 2 Mei 1960, bangunan baru di bina dan pemindahannya dimulakan. Bangunan ini dikelolakan oleh pihak lembaga Pelajaran tempatan dengan perbelanjaan sebamyak RM 160 250.00, tidak termasuk belanja perabot dan peralatan lain. Pada 19 Julai 1960, sekolah ini telah menerima sijil Pendaftaran dari Pejabat Pelajaran Selangor. Upacara perasmian sekolah ini telah dilakukan oleh DYMM Sultan Selangor pada 30 Julai 1960.

Menjelang tahun 1962, jumlah murid-murid sekolah semakin bertambah sehingga meningkat kepada 1566 orang. Oleh yang demikian pihak jabatan telah mengarahkan sekolah ini supaya di jadikan dua buah sekolah dan dikanunkan dengan nama SRK Jalan Kuantan Satu  dan SRK Jalan Kuantan Dua pada tahun 1963. Sekolah ini didaftarkan dengan nama Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) (2), Jalan Kuantan, Kuala Lumpur pada 5 Mei 1967. Lagu rasmi sekolah ini bertajuk  ‘Majulah SRK Jalan Kuantan Dua’ hasil gubahan En. Ramlan bin Haris dan Motto sekolah pula ialah ‘Suci, Berusaha dan Setia’.

Pada 27 Mei 1960, mesyuarat pertama Lembaga Pengurus telah diadakan dan Datok Chong Shih Guan DPMS, AMN, JP , telah dilantik sebagai pengerusi lembaga Pengurus yang baru menggantikan Datok Chong. Selain dari Dr Mohd Sham Bin Kasim, Tn. Hj Ibrahim Bin Nasek juga dilantik sebagai Wakil Kementerian Pelajaran. Wakil ibubapa yang di lantik ketika itu ialah En. Ahmad Dahalan b. Mohd Diah dan En. Ahmad Hussein. Manakala wakil murid tua yang dilantik ialah En. Mohd Mokhtar Dahari dan En. Mohd Hamdan Bin Hj Ismail.

Pada tahun 1962, sekolah ini telah dipilih oleh Lembaga Pelajaran bandaran bagi menguji perlaksanaan mengajar murid-murid pekak di sekolah-sekolah biasa iaitu seramai 24 orang di bawah penyeliaan Cik Joyce Hickes. Dua orang guru yang dihantar mengikuti kursus murid-murid pekak iaitu Pn. Cheong Kay Fong dan Cik Swee Im.

Semenjak pihak jabatan mewajibkan setiap sekolah menubuhkan Persatuan Ibubapa dan Guru, maka pada tahun 1974, SRK Jalan Kuantan Dua dengan rasminya menubuhkan Persatuan Ibubapa dan Guru dikenali sebagai PIBG Sekolah Jalan Kuantan (1) dan (2) bergabung sehingga tahun 1973. En. Abdullah Malim Baginda sebagai Yang Dipertua PIBG pertama.

Pada tahun pertama sekolah ini dibuka, bilangan muridnya ialah seramai 687 orang. Pada tahun 1964, Allahyarham Mokhtar Dahari, seorang pemain bola sepak negara yang terkenal menerima pendidikan rendah di sekolah ini sehingga tahun 1965. Salah seorang bekas gurunya ialah E. Louis Danasamy. Sehingga tahun 1970, bilangan murid meningkat kepada 927 orang. Bilangan murid sekolah ini semakin merosot dari tahun ke setahun menjelang tahun 1988. Sekolah mengalami kemerosotan murid yang paling ketara  hanya tinggal seramai 492 orang murid. Kemerosotan murid sekolah ini ada kaitannya dengan pembukaan sekolah baru di sekitar Wilayah Persekutuan. Diantaranya ialah sekolah di Bandar Baru Sentul dan Wangsa maju. Perpindahan Briged tengah UPPH ke Cheras juga merupakan salah satu faktor merosotnya bilangan murid sekolah ini. Keadaan ini berlaku kerana kebanyakan murid-murid sekolah ini terdiri dari ibubapa yang bekerja sebagai tentera.

Bilangan guru sekolah semasa sekolah ini ditubuhkan ialah seramai 27 orang. Pada awal tahun 1988, 3 buah kelas terpaksa ditutup di atas arahan pihak jabatan kerana bilangan murid yang semakin merosot. Akibatnya ramai guru terpaksa ditukarkan ke sekolah lain.

SRK Jalan Kuantan (2) dibina atas tapak seluas 2 ekar ( Lot 101 Bahagian 86A daripada keluasan 7.6 ekar. Peruntukan untuk Maktab Seri Kota ialah 5.6 ekar) . Sekolah ini mempunyai satu blok bangunan dua tingkat berdinding batu dan beratap genting. Sebuah dewan yang berharga RM24,000.00 dibina pada 15 Februari 1977 dan sebuah kantin. Pada akhir tahun 1987, sekolah dapat menambah lagi keluasan kantin untuk keselesaan murid-murid menggunakannya. Dewan yang pada asalnya digunakan sebagai perpustakaan dan bilik TV  telah dijadikan Bilik Guru dan Bilik Muzik pada awal tahun 1988. Pada awal tahun 1991, pihak jabatan telah mendirikan sebuah stor di sebelah Bilik guru untuk simpanan alatan sukan dan fail-fail sekolah.

Bangunan sekolah ini mengandungi 20 bilik darjah, satu ruang pejabat, yang kemudian di jadikan pejabat  untuk sekolah 1 dan 2 dan termasuklah 6 bilik tandas. Sebuah bilik darjah dijadikan surau dan Kedai Buku. Pada mulanya sekolah ini tidak mempunyai bilik khas untuk Bilik Pusat Sumber Sekolah. Untuk mewujudkan prasarana ini, bilangan kelas terpaksa dikecilkan untuk dijadikan Bilik Pusat Sumber Sekolah pada 1990.  

Di peringkat sekolah rendah, Peperiksaan Penilaian Darjah 5 (sehingga tahun 1986) dan sejak 1987, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah merupakan peperiksaan yang penting dalam menentukan pencapaian kemajuan dan kecemerlangan sekolah.

Namun pada Januari 2003, Sekolah Kebangsaan jalan Kuantan (2) telah berpindah ke bangunan baru yang didirikan di atas padang yang di kongsi bersama Maktab Perguruan Seri Kota ketika itu. Jumlah murid ketika itu ialah seramai 650 orang. Pada tahun 2006 jumlah murid di sekolah ini semakin menguncup kepada 388 orang. Ini adalah disebabkan perpindahan penghuni di Flat Pekeliling, Jalan Tun Razak ke Taman Sri Rampai.

Kini jumlah murid Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan (2) ada seramai 348 orang. Jumlah guru yang bertugas seramai 33 orang disamping kakitangan sekolah seramai 3 orang.


SENARAI NAMA GURU BESAR SEKOLAH KEBANGSAAN JALAN KUANTAN (2)


Bil
Nama Guru Besar
Tahun Perkhidmatan
1
Pn. Chew Kim Kee
1963 hingga 1970
2
Pn. Laliy Rozita
1971 hingga 1979
3.
En. Abd Latif Bin Abd. Hadi
1980 hingga 1982
4
En. Abbas Bin Abd Latif
1983 hingga 1985
5
Tn Hj Mohd Isa Bin Abdullah
1986 hingga 1987
6
Tn. Hj Osman Bin Hj Ludin
1987 hingga 1993
7
Pn.Hjh Napisah Binti Ahmad
1993 hingga 1997
8.
Pn. Amiliah Binti Mohd Basir
1997 hingga 1999
9.
Pn. Hjh Zaharah Binti Abdullah
1999 hingga 2002
10.
Pn. Hjh Ramlah Binti Nurdin
2002 hingga 2007
11.
Pn. Hjh Zaitun Binti Halim
2007 hingga 2012
12.
En. Mohd Sadli Bin Harun
2012 hingga 2013
13.
Pn. Hjh Azni Binti Tan Sri  Abdul Aziz
2013 hingga 2016
14.
En. Saifullazman Bin Safei
16 Mei 2016 hingga sekarang
Rujukan
Pusat Sumber Sekolah
Tarikh Edit/Cetakan Semula : 18 Mac 2015